Pendahuluan: Amanah FPN 1988 yang Belum Sepenuhnya Diterjemahkan
Sejak tahun 1988, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang kemudiannya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah menetapkan dengan jelas matlamat pendidikan Malaysia:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.” — Falsafah Pendidikan Negara, 1988
Perhatikan kata-kata kunci dalam falsafah ini: menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmonis, berketerampilan. Pernyataan ini bukan sekadar hasrat untuk pelajar lulus peperiksaan. Falsafah ini adalah visi melahirkan insan yang benar-benar kompeten iaitu mampu menunjukkan pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam kehidupan sebenar.
Namun selama beberapa dekad, sistem penilaian pendidikan tinggi Malaysia masih bergantung besar kepada peperiksaan akhir dan ujian bertulis yang hanya mengukur pengetahuan kognitif peringkat rendah. Inilah jurang antara falsafah dan amalan yang cuba dirapatkan oleh Pentaksiran Berasaskan Hasil (OBA).
Asas Perundangan: Tiga Akta yang Mendasari OBA di Malaysia
Sebelum memahami OBA secara konseptual, penting untuk mengetahui bahawa ia bukan sekadar pendekatan pilihan pensyarah malah ia adalah keperluan yang berakar dalam perundangan pendidikan tinggi Malaysia.
1. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30, Pindaan 2019)
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) adalah merupakan akta utama yang menjadi asas penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia. Akta ini telah dipinda beberapa kali, dengan pindaan terakhir pada 2019. Dalam konteks OBA, Akta 30 memberikan kuasa kepada Senat universiti untuk menetapkan dasar penilaian pelajar, yang mesti selari dengan keperluan akreditasi MQA dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555)
Akta 555 mengawal selia semua institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di Malaysia. Mana-mana IPTS yang ingin mendapat pengiktirafan dan akreditasi MQA mesti memastikan program dan sistem penilaian mereka mematuhi standard yang ditetapkan, termasuk prinsip OBE dan OBA.
3. Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679)
Akta 679 menubuhkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia. Di bawah akta ini, MQA berkuasa:
- Menetapkan standard dan kriteria akreditasi program
- Mengeluarkan Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA)
- Mewajibkan semua program mengikuti prinsip OBE dan OBA melalui Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF)
Dengan kata lain, OBA bukan pilihan untuk institusi yang ingin mendapat dan mengekalkan akreditasi MQA. Ia adalah keperluan statutori yang berpunca daripada Akta 679.
Apa Maksud Pentaksiran Berasaskan Hasil (OBA)?
Pentaksiran Berasaskan Hasil (Outcome-Based Assessment, OBA) ialah pendekatan penilaian yang selari dengan prinsip Pendidikan Berasaskan Hasil (Outcome-Based Education, OBE).
Mengikut Advisory Note MQA Bil. 1/2026, Penilaian Berasaskan Hasil (Outcome-Based Assessment, OBA) merupakan pendekatan yang selari dengan prinsip OBE. Pelaksanaan penilaian adalah berasaskan konsep penjajaran konstruktif yang menuntut semua aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penilaian direka bentuk secara sistematik bagi memastikan keselarasan serta keberkesanan dalam mengukur pencapaian hasil pembelajaran.
Dalam bahasa yang lebih mudah: OBA bermakna penilaian direka bentuk BERDASARKAN hasil pembelajaran yang ingin dicapai bukan berdasarkan kebiasaan atau konvensyen semata-mata.
Manakala OBE secara menyeluruh didefinisikan sebagai suatu pendekatan pendidikan yang dimulakan dengan fokus yang jelas dan nyata mengenai perolehan akhiran pembelajaran yang signifikan dan kontekstual serta berkualiti tinggi dan seterusnya merancang atau menyusun segala persekitaran sistem pendidikan agar apa yang penting mampu dilakukan dengan jayanya oleh semua pelajar pada akhir pengalaman pembelajaran mereka.
Definisi ini selaras dengan takrifan asal yang diperkenalkan oleh William Spady (1994), tokoh yang paling berpengaruh dalam pembangunan konsep OBE. Menurut Spady (1994, hlm. 12), OBE bermaksud “clearly focusing and organizing everything in an educational system around what is essential for all students to be able to do successfully at the end of their learning experiences.” Spady menekankan bahawa “demonstration is the key word: an outcome is not a score or a grade, but the end product of a clearly defined process that students carry out” (Spady, 1994, hlm. 18). Hal ini bermakna OBE dan dengan sendirinya OBA menuntut pelajar menunjukkan penguasaan mereka melalui tindakan sebenar, bukan sekadar menjawab soalan peperiksaan.
Spady (1994) turut membezakan antara dua pendekatan OBE: pendekatan tradisional/transaksional yang berasaskan kandungan, dan pendekatan transformasional yang berasaskan hasil. Pendekatan transformasional yang menjadi asas kepada MQF Malaysia mengharapkan pelajar menunjukkan tingkah laku, kemahiran, dan nilai yang mencerminkan kesediaan mereka sebagai warganegara dan profesional yang kompeten dalam dunia sebenar.
4 Prinsip Pengorganisasian OBE Menurut Spady (1994)
Sebelum memahami prinsip-prinsip teknikal OBA, penting untuk menghayati 4 prinsip pengorganisasian OBE yang digariskan oleh Spady (1994) sebagai asas falsafah keseluruhan pendekatan ini. Apabila dilaksanakan secara konsisten, sistematik, kreatif, dan serentak, prinsip-prinsip ini membentuk budaya pembelajaran yang benar-benar berorientasikan hasil.
Prinsip 1: Clarity of Focus (Kejelasan Fokus)
Esensi “clarity of focus” ialah pendidik mesti menetapkan gambaran yang jelas tentang pembelajaran yang ingin ditunjukkan oleh pelajar; menjadikan ini sebagai keutamaan utama dalam perancangan, pengajaran, dan pentaksiran; berkongsi hasil ini dengan pelajar; dan mengekalkan penjajaran antara hasil dengan segala usaha pengajaran.
Dalam konteks praktikal pensyarah, ini bermakna:
- Tentukan kemahiran akhir (skillset) yang perlu ditunjukkan pelajar pada akhir kursus atau program bukan sekadar apa yang perlu diketahui, tetapi apa yang perlu dapat dilakukan
- Nyatakan CLO dengan tepat menggunakan kata kerja boleh ukur (Taksonomi Bloom) supaya pelajar tahu dengan jelas apakah yang diharapkan daripada mereka
- Selaraskan semua aktiviti P&P dan penilaian dengan CLO yang ditetapkan, tiada aktiviti yang tidak menyumbang kepada sekurang-kurangnya satu CLO
- Kongsi kriteria kejayaan dengan pelajar sejak awal semester melalui rubrik dan pelan penilaian kursus
Kejelasan fokus adalah prasyarat kepada ketiga-tiga prinsip yang lain. Tanpa kejelasan tentang ke mana tuju, proses mereka bentuk kurikulum dan penilaian menjadi tidak bermakna.
Prinsip 2: Designing Down (Reka Bentuk Ke Bawah)
Spady (1994) menyifatkan prinsip ini sebagai prinsip paling kritikal dalam OBE. “Designing down” yang juga dikenali sebagai backward design atau designing back bermaksud proses reka bentuk kurikulum dan pentaksiran bermula daripada hasil akhir yang dihasratkan, kemudian merancang ke belakang untuk menentukan apa yang perlu diajar dan bagaimana cara mengajarnya.
Aliran designing down dalam konteks IPG/IPTA:
Hasil Akhir Program (PEO — Program Educational Objectives)
↓
Hasil Pembelajaran Program (PLO — Program Learning Outcomes)
↓
Hasil Pembelajaran Kursus (CLO — Course Learning Outcomes)
↓
Instrumen Pentaksiran (Rubrik, Tugasan, Ujian)
↓
Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran (PdP)
↓
Kandungan Kursus (Silibus)
Ini adalah kebalikan langsung daripada pendekatan tradisional di mana kandungan ditentukan dulu, kemudian baru penilaian dibina berdasarkan apa yang diajar. Dalam OBE, soalan yang perlu dijawab pensyarah bukan “Apa yang perlu saya ajar?” tetapi “Apa yang perlu pelajar dapat tunjukkan pada akhir kursus ini, dan apakah bukti yang akan saya terima sebagai demonstrasi pencapaian tersebut?”
Driscoll dan Wood (2007) memperkukuh prinsip ini dengan menekankan bahawa pensyarah perlu “aligning course content consistently with desired outcomes” iaitu kandungan kursus mesti dirancang untuk menyokong pencapaian hasil, bukan sebaliknya.
Prinsip 3: High Expectations (Jangkaan Tinggi)
Spady (1994, hlm. 9) menegaskan andaian falsafah teras OBE: “all students can learn and succeed, but not on the same day, in the same way.” Prinsip jangkaan tinggi bermaksud:
- Tetapkan standard kualiti yang tinggi untuk semua pelajar, bukan menurunkan bar supaya semua boleh lulus, tetapi menyediakan sokongan yang mencukupi supaya semua boleh mencapai standard tersebut
- Elakkan “bell curve mentality” dalam OBE, kejayaan seorang pelajar tidak mengurangkan peluang pelajar lain. Jika semua pelajar mencapai CLO, itu adalah kejayaan sistem, bukan tanda soalan terlalu mudah
- Gunakan rubrik yang jelas supaya pelajar tahu dengan tepat apa yang dimaksudkan dengan prestasi “cemerlang” — jangkaan tinggi yang tidak dijelaskan dengan jelas hanya menambah kebimbangan, bukan motivasi
Dalam konteks MQF Malaysia, prinsip ini diterjemahkan kepada keperluan bahawa semua pelajar mesti mencapai sekurang-kurangnya tahap minimum penguasaan CLO sebelum boleh dianugerahkan kelayakan, tanpa mengira berapa ramai yang “gagal” dalam ujian sebelumnya.
Prinsip 4: Expanded Opportunities (Peluang yang Diperluaskan)
Prinsip keempat mengiktiraf bahawa jika jangkaan tinggi ditetapkan untuk semua pelajar, maka peluang untuk mencapai jangkaan tersebut juga mesti diperluaskan. Ini bermakna:
- Berikan lebih daripada satu peluang kepada pelajar untuk menunjukkan penguasaan melalui penilaian formatif, kuiz semula, tugasan susulan, atau sesi bimbingan tambahan
- Gunakan pelbagai kaedah penilaian yang meraikan kepelbagaian cara pelajar belajar dan menunjukkan kefahaman menerusi ujian bertulis sahaja tidak cukup
- Maklum balas berterusan (formatif) membolehkan pelajar memperbaiki prestasi sebelum penilaian sumatif yang menentukan gred akhir
- Reka bentuk kursus yang membenarkan pembelajaran kendiri di mana pelajar yang sudah menguasai CLO tidak perlu dihalang oleh rentak yang lebih perlahan
Prinsip ini berkait langsung dengan penilaian formatif dalam OBA dan ia bukan sekadar amalan pedagogi yang baik, tetapi keperluan falsafah dalam sistem yang benar-benar berprinsipkan OBE.
Hubungan 4 Prinsip Spady dengan Amalan OBA
Keempat-empat prinsip Spady membentuk logik dalaman yang menjelaskan mengapa OBA berbeza secara asas daripada pentaksiran tradisional:
| Prinsip Spady (1994) | Implikasi kepada OBA |
|---|---|
| Clarity of Focus | CLO mesti jelas, boleh ukur, dan dikongsi dengan pelajar. Rubrik adalah alat kejelasan |
| Designing Down | Bina instrumen penilaian dahulu (berdasarkan CLO), kemudian rancang aktiviti P&P |
| High Expectations | Standard dalam rubrik mesti mencerminkan tahap kompetensi sebenar yang dihasratkan |
| Expanded Opportunities | Penilaian formatif wajib — pelajar perlu peluang belajar daripada maklum balas sebelum penilaian sumatif |
Empat Prinsip Teras OBA (Berdasarkan Advisory Note MQA Bil. 1/2026)
Proses penilaian berasaskan hasil dapat dirumuskan berdasarkan empat prinsip penjajaran konstruktif:
Perspektif pensyarah terhadap OBA dihuraikan dengan baik oleh Driscoll dan Wood (2007) dalam buku Developing Outcomes-Based Assessment for Learner-Centered Education: A Faculty Introduction. Kedua-dua penulis ialah seorang pensyarah kimia yang awalnya skeptikal terhadap OBA, dan seorang pengarah pentaksiran yang sensitif kepada kebimbangan rakan sejawat serta menekankan bahawa tujuan OBA adalah untuk memberdayakan pensyarah dalam memiliki dan menentukan pentaksiran yang sesuai bagi kursus dan program mereka. Menurut Driscoll dan Wood (2007), proses OBA melibatkan artikulasi hasil pembelajaran, penentuan kriteria dan standard, serta penjajaran kandungan kursus secara konsisten dengan hasil yang dihasratkan dan bukan proses yang sentiasa kemas dan linear, tetapi proses yang dinamik dan memerlukan refleksi berterusan.
Prinsip 1: Hasil Pembelajaran sebagai Kriteria
Penilaian dijalankan dengan merujuk kepada kriteria yang ditentukan oleh hasil pembelajaran yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
Ini adalah perbezaan asas antara OBA dan penilaian tradisional. Dalam OBA, soalan yang perlu dijawab pensyarah sebelum membina sebarang instrumen penilaian ialah: “Apakah hasil pembelajaran yang ingin dicapai?”, bukan “Apakah yang mudah untuk diuji?”
Prinsip 2: Kriteria Prestasi
Hasil pembelajaran yang bersifat umum dipecahkan kepada pernyataan lebih spesifik yang boleh diukur bagi menjelaskan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku yang perlu ditunjukkan oleh pelajar sebagai penunjuk pencapaian.
Contoh: Jika Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) menyatakan “pelajar boleh menganalisis isu pendidikan kontemporari,” maka kriteria prestasi perlu menyatakan dengan lebih spesifik tentang apa yang dimaksudkan dengan “menganalisis”? Pada tahap Taksonomi Bloom yang mana? Dalam konteks yang mana?
Prinsip 3: Instrumen/Rubrik Penilaian
Kriteria prestasi yang lazimnya disusun dalam bentuk rubrik penilaian, iaitu instrumen pemarkahan berstruktur yang menerangkan tahap kualiti prestasi berbeza bagi setiap kriteria yang ditetapkan. Penggunaan instrumen/rubrik membolehkan proses pemarkahan dijalankan secara objektif, konsisten dan telus.
Rubrik adalah jantung OBA dalam pelaksanaan harian. Ia mengubah penilaian daripada pertimbangan subjektif (“ini rasa macam B+”) kepada pertimbangan berasaskan bukti (“prestasi ini menepati deskriptor tahap 4 dalam kriteria analisis”).
Prinsip 4: Pengesahan Pencapaian dan Penggredan
Penggunaan instrumen/rubrik membantu penilai dapat mengesahkan tahap pencapaian pelajar, menetapkan markah dan memberikan gred selaras dengan kriteria prestasi yang telah ditentukan secara sistematik dan berintegriti.
Perbezaan antara OBA dan Pentaksiran Tradisional
Ini adalah salah satu soalan yang paling kerap ditanya oleh pensyarah yang baru didedahkan kepada OBE. Jadual berikut merumuskan perbezaan utama:
| Aspek | Pentaksiran Tradisional | Pentaksiran Berasaskan Hasil (OBA) |
|---|---|---|
| Fokus | Kandungan kursus — apa yang diajar | Hasil pembelajaran — apa yang pelajar boleh buat |
| Titik permulaan | Kandungan → Kaedah P&P → Penilaian | Hasil pembelajaran → Penilaian → Kaedah P&P |
| Kaedah dominan | Ujian bertulis, peperiksaan akhir | Pelbagai kaedah: pembentangan, projek, rubrik, portfolio |
| Domain yang dinilai | Kognitif peringkat rendah (hafalan, ingatan semula) | Kognitif, psikomotor, dan afektif secara menyeluruh |
| Instrumen penilaian | Soalan objektif dan esei tanpa rubrik jelas | Rubrik analitik atau holistik berasaskan kriteria prestasi |
| Maklum balas | Markah dan gred sahaja | Maklum balas terperinci tentang tahap pencapaian setiap CLO |
| Rujukan standard | Normatif — berbanding dengan pelajar lain | Kriteria — berbanding dengan standard yang ditetapkan |
| Kaitan dengan CLO | Jarang dipetakan secara eksplisit | Setiap item penilaian dipetakan kepada CLO tertentu |
Penilaian berasaskan ujian dan peperiksaan akhir tidak berkesan untuk menilai domain pembelajaran psikomotor, afektif dan sosial termasuk kemahiran insaniah. Penilaian terhadap domain pembelajaran sedemikian memerlukan kaedah yang autentik dan secara langsung.
Mengapa OBA Relevan dengan Falsafah Pendidikan Negara?
Kembali kepada FPN 1988 yang dibincangkan pada awal artikel ini, perhatikan bahawa falsafah tersebut menekankan empat domain perkembangan manusia: intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Sekiranya sistem penilaian hanya mengukur domain kognitif (intelek) melalui peperiksaan bertulis, maka domain-domain lain tidak pernah benar-benar dinilai, dan dengan sendirinya tidak akan diperkembangkan dengan serius dalam proses pembelajaran.
OBA menyediakan rangka kerja untuk menilai kesemua domain ini secara sistematik melalui kepelbagaian kaedah penilaian:
| Domain FPN | Cara OBA Mengukurnya |
|---|---|
| Intelek | Ujian bertulis, kuiz, analisis kes — mengukur CLO kognitif |
| Kemahiran | Pembentangan, projek, demonstrasi — mengukur CLO psikomotor |
| Emosi & Sosial | Kerja berkumpulan, refleksi, penilaian rakan sebaya — mengukur CLO afektif |
| Etika & Nilai | Portfolio, jurnal reflektif, pemerhatian — mengukur CLO nilai dan profesionalisme |
Ini adalah hubungan langsung antara falsafah pendidikan yang diisytiharkan pada 1988 dengan amalan pentaksiran di institusi pengajian tinggi hari ini.
MQF dan 5 Kluster Hasil Pembelajaran
OBA di Malaysia dilaksanakan dalam konteks Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF). MQF mengekalkan lapan tahap pencapaian pembelajaran — Sijil (Tahap 1–3), Diploma dan Diploma Lanjutan (Tahap 4–5), serta Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (Tahap 6, 7, dan 8).
Berikut adalah 8 tahap MQF dan kelayakan yang berkaitan:
| Tahap MQF | Kelayakan | Konteks Relevan |
|---|---|---|
| Tahap 1 | Sijil | Kemahiran vokasional asas |
| Tahap 2 | Sijil | Kemahiran vokasional pertengahan |
| Tahap 3 | Sijil | Kemahiran vokasional lanjutan |
| Tahap 4 | Diploma | Diploma akademik & TVET (minimum 90 kredit) |
| Tahap 5 | Diploma Lanjutan | Diploma Lanjutan akademik & TVET |
| Tahap 6 | Ijazah Sarjana Muda | Minimum 120 kredit — tahap paling relevan untuk IPTA/IPTS/IPG |
| Tahap 7 | Ijazah Sarjana | Sarjana & Diploma Pascasiswazah |
| Tahap 8 | Doktor Falsafah | PhD & Doktor Profesional |
Tahap 6 (Ijazah Sarjana Muda) adalah tahap yang paling relevan kepada pensyarah IPG dan IPTA/IPTS yang mengajar program prasiswazah. Kelayakan pada Tahap 6 ini membawa beban pembelajaran minimum 120 kredit dan menyediakan pelajar untuk pekerjaan dalam kerjaya, pekerjaan, atau bidang profesional tertentu, serta untuk mengikuti pendidikan pascasiswazah. Semua CLO dalam program Ijazah Sarjana Muda mesti menunjukkan pencapaian pada tahap kognitif, kemahiran, dan nilai yang sepadan dengan deskriptor Tahap 6 MQF.
MQF menetapkan bahawa semua program pengajian tinggi perlu mencapai hasil pembelajaran yang distrukturkan mengikut kelompok (kluster) tertentu. Namun penting untuk difahami bahawa struktur ini telah mengalami semakan antara edisi MQF pertama (2007) dan edisi kedua (2017/2024).
MQF Edisi Pertama (2007) — 8 Domain Hasil Pembelajaran
MQF edisi pertama menekankan lapan domain hasil pembelajaran untuk graduan Malaysia:
| Domain | Nama Domain |
|---|---|
| 1 | Pengetahuan (Knowledge) |
| 2 | Kemahiran Praktikal (Practical Skills) |
| 3 | Kemahiran Berfikir dan Saintifik (Problem Solving and Scientific Skills) |
| 4 | Kemahiran Komunikasi, Kepimpinan dan Kumpulan (Communication, Leadership and Team Skills) |
| 5 | Kemahiran Sosial dan Tanggungjawab (Social Skills and Responsibilities) |
| 6 | Nilai, Sikap dan Profesionalisme (Values, Attitudes and Professionalism) |
| 7 | Pengurusan Maklumat dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (Information Management and Lifelong Learning Skills) |
| 8 | Kemahiran Keusahawanan dan Pengurusan (Managerial and Entrepreneurial Skills) |
MQF Edisi Kedua (2017) — Dikemas kini 2024: 5 Kluster, 11 Komponen Hasil Pembelajaran
Dalam MQF edisi kedua, lapan domain hasil pembelajaran dalam MQF edisi pertama telah dikumpulkan semula (clustered), diprofil semula dan dikekalkan. Hasilnya, 8 domain tersebut disusun ke dalam 5 kluster yang mengandungi 11 komponen hasil pembelajaran yang lebih terperinci:
Kluster 1: Pengetahuan dan Kefahaman (Knowledge and Understanding)
Pengetahuan dan kefahaman merujuk kepada pemahaman sistematik tentang fakta, idea, maklumat, prinsip, konsep, teori, pengetahuan teknikal, peraturan, numerasi, kemahiran praktikal, alat, proses dan sistem. Ia bermula daripada pengetahuan umum asas dan berkembang kepada pengetahuan yang lebih pelbagai, luas, khusus dan lanjutan. Pengetahuan menyediakan asas bagi aplikasi semua hasil pembelajaran yang lain.
Kluster 2: Kemahiran Kognitif (Cognitive Skills)
Kemahiran kognitif berkaitan dengan keupayaan berfikir atau intelek dan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran. Kapasiti untuk membangunkan tahap kemahiran intelek secara progresif bermula daripada kefahaman, pemikiran kritikal/kreatif, penilaian, dan mengaplikasikan, menganalisis, menyelesaikan masalah serta mensintesis untuk mencipta idea, penyelesaian, strategi atau amalan baharu.
Kluster 3: Kemahiran Kerja Fungsian (Functional Work Skills) — 6 Sub-Komponen
Kluster 3 adalah kluster paling luas dengan enam sub-komponen:
3a. Kemahiran Praktikal (Practical Skills)
Kemahiran ini merangkumi kemahiran kerja dan operasional yang terpakai dalam persekitaran pekerjaan biasa seperti perancangan; kemahiran organisasi; pemilihan alat, bahan, kaedah dan prosedur teknologi. Dalam konteks pengajian, ia boleh merangkumi kemahiran belajar dan persediaan, menjalankan prosedur, kemahiran saintifik, reka bentuk, penyelidikan, dan sebagainya. Ia juga merangkumi kemahiran khusus yang ditetapkan oleh disiplin atau pekerjaan tertentu yang meningkatkan kompetensi profesional.
3b. Kemahiran Interpersonal (Interpersonal Skills)
Kemahiran interpersonal merujuk kepada pelbagai kemahiran yang merangkumi komunikasi interaktif; hubungan dan kemahiran kolaboratif dalam mengurus hubungan dalam pasukan dan dalam organisasi; rangkaian dengan orang dari pelbagai budaya; serta kemahiran sosial dan etiket.
3c. Kemahiran Komunikasi (Communication Skills)
Kemahiran komunikasi merujuk kepada keupayaan untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat, idea, dan laporan secara tepat dan profesional dalam bahasa yang sesuai. Komunikasi mesti berkesan dan dalam bentuk yang sesuai, dalam pelbagai medium, kepada pelbagai audien dan situasi yang berbeza. Keupayaan berkomunikasi dalam lebih daripada satu bahasa digalakkan.
3d. Kemahiran Digital (Digital Skills)
Kemahiran digital secara umum merujuk kepada keupayaan menggunakan teknologi maklumat atau digital untuk menyokong kerja dan pengajian. Kemahiran ini merangkumi mendapatkan dan menyimpan maklumat, memproses data, menggunakan aplikasi untuk penyelesaian masalah dan komunikasi, serta etika dalam mengaplikasikan kemahiran digital.
Nota: Kemahiran Digital adalah penambahan baharu dalam MQF Edisi Kedua — ia tidak wujud sebagai domain berasingan dalam MQF 2007, mencerminkan keperluan semasa untuk memastikan CLO merangkumi kompetensi digital pelajar secara eksplisit.
3e. Kemahiran Numerasi (Numeracy Skills)
Kemahiran numerasi adalah kemahiran kuantitatif yang memerlukan pelajar memperoleh tahap kemahiran numerik yang semakin tinggi. Ia diiktiraf sebagai kemahiran hidup yang penting dan relevan dalam pengajian, kerja, dan kehidupan harian. Kemahiran numerasi mungkin tidak dinyatakan secara khusus untuk setiap tahap, tetapi dijangka hadir sebagai hasil dalam setiap program tertentu.
3f. Kepimpinan, Autonomi dan Tanggungjawab (Leadership, Autonomy and Responsibility)
Kelompok kemahiran ini merujuk kepada keupayaan individu untuk membina hubungan dan bekerja dengan pasukan yang terdiri daripada rakan sebaya atau dalam kapasiti pengurusan dengan pelbagai tahap autonomi untuk membuat keputusan atau menetapkan matlamat; mengambil tanggungjawab dan memberikan akauntabiliti; bersikap yakin, berpengetahuan, berterus terang, jujur, profesional, penyayang, berdaya tahan, pengambil risiko, dan memiliki kemahiran intrapersonal lain termasuk bekerja dan memimpin pasukan.
Kluster 4: Kemahiran Personal dan Keusahawanan (Personal and Entrepreneurial Skills) — 2 Sub-Komponen
4a. Kemahiran Personal — Pengurusan Diri dan Perkembangan (Personal Skills: Self-Management and Development)
Kemahiran personal adalah kemahiran hidup yang dijangka digunakan pelajar setiap hari. Ia biasanya dicerminkan melalui semangat untuk pembelajaran kendiri, perkembangan intelek dan diri; dengan menunjukkan keyakinan, kawalan diri; kemahiran sosial dan etiket yang betul; dan komitmen kepada profesionalisme di tempat kerja. Ia juga merangkumi keupayaan untuk merancang pembangunan kerjaya atau pendidikan lanjutan. Aspek watak seperti kejujuran, ketepatan masa, pengurusan masa, serta mematuhi dan mengekalkan tarikh akhir yang penting dalam persekitaran kerja, juga merupakan kemahiran personal yang penting.
4b. Kemahiran Keusahawanan (Entrepreneurial Skills)
Kemahiran keusahawanan memerlukan pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang relevan dalam bidang utama sesuatu perusahaan. Kualiti personal yang penting termasuk kreativiti, ketabahan, dan dorongan. Dorongan untuk menjadi usahawan adalah kemahiran personal tetapi juga memerlukan pengetahuan, kemahiran kognitif, dan fungsian yang berkaitan.
Kluster 5: Etika dan Profesionalisme (Ethics and Professionalism)
Etika dan nilai adalah penting pada peringkat personal, organisasi, kemasyarakatan/komuniti, dan global kerana ia membimbing tindakan peribadi, interaksi, di tempat kerja, dan dalam komuniti. Kesedaran, kefahaman, dan penghormatan terhadap perbezaan dan isu etika, sosial, dan budaya adalah penting dalam pelaksanaan kemahiran dan tanggungjawab profesional: integriti, tingkah laku profesional (profesionalisme), dan standard tingkah laku seperti menjunjung peraturan, undang-undang, dan kod amalan baik atau kod tingkah laku profesional.
Ringkasan: 5 Kluster, 11 Komponen MQF 2017/2024
| Kluster | Komponen | Bil. |
|---|---|---|
| 1. Pengetahuan dan Kefahaman | Knowledge and Understanding | 1 |
| 2. Kemahiran Kognitif | Cognitive Skills | 1 |
| 3. Kemahiran Kerja Fungsian | Practical Skills · Interpersonal Skills · Communication Skills · Digital Skills · Numeracy Skills · Leadership, Autonomy & Responsibility | 6 |
| 4. Kemahiran Personal & Keusahawanan | Personal Skills (Self-Management & Development) · Entrepreneurial Skills | 2 |
| 5. Etika dan Profesionalisme | Ethics and Professionalism | 1 |
| Jumlah | 11 |
Penambahan Baharu MQF 2024 — Kompetensi Teras Kelestarian (ESD)
MQF 2.0 (2024) mewajibkan pengintegrasian Education for Sustainable Development (ESD) dan Values-Based Education (VBE) ke dalam kurikulum pendidikan tinggi.
UNESCO (2017) telah mengenal pasti lapan kompetensi utama yang diperlukan oleh individu bagi membolehkan kita sebagai masyarakat mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). UNESCO membayangkan bahawa kompetensi-kompetensi ini akan dibangunkan melalui pendidikan untuk pelajar dari semua peringkat umur, di seluruh dunia.
Kompetensi ESD boleh dianggap sebagai sub-atribut bagi Hasil Pembelajaran MQF. Ia dinilai pada peringkat kursus (CLO) dan akan menyumbang secara kolektif kepada PLO yang disokongnya.
Berikut adalah 8 Kompetensi Teras Kelestarian dengan definisi, kemahiran utama (key abilities), dan penjajaran kepada kluster MQF:
1. Pemikiran Sistem (Systems Thinking Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 1 + Kluster 2
Pandangan holistik tentang elemen yang saling berhubungan.
Keupayaan untuk mengenal pasti dan memahami hubungan; menganalisis sistem yang kompleks; memikirkan bagaimana sistem dibenamkan dalam domain dan skala yang berbeza; serta menangani ketidakpastian.
Kemahiran utama (key abilities):
- Menganalisis sistem yang kompleks merentasi domain berbeza (alam sekitar, sosial, ekonomi) dan skala berbeza (tempatan hingga global)
- Memahami kesan domino (cascading effects), inersia, gelung maklum balas, dan dinamik sistem lain
- Menilai impak pelan tindakan kelestarian terhadap sistem
2. Kompetensi Antisipatif (Anticipatory Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 1
Pemikiran proaktif untuk perancangan masa depan.
Keupayaan untuk memahami dan menilai pelbagai masa depan dari sudut yang mungkin, yang berkemungkinan, dan yang diingini; mencipta visi sendiri untuk masa depan; mengaplikasikan prinsip berjaga-jaga; menilai akibat tindakan; serta menangani risiko dan perubahan.
Kemahiran utama (key abilities):
- Membina dan menguji simulasi, ramalan, senario, dan visi
- Menjangkakan keadaan masa depan sistem yang kompleks
- Menjangkakan bagaimana pelan tindakan kelestarian mungkin terjadi jika dilaksanakan
3. Kompetensi Normatif (Normative Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 2
Membuat keputusan berasaskan nilai dan standard etika.
Keupayaan untuk memahami dan merefleksikan norma dan nilai yang mendasari tindakan seseorang; serta merunding nilai, prinsip, matlamat, dan sasaran kelestarian dalam konteks konflik kepentingan dan pertukaran nilai, pengetahuan yang tidak pasti, dan kontradiksi.
Kemahiran utama (key abilities):
- Mengenal pasti, memetakan, menentukan, merunding, dan mengaplikasikan nilai dan prinsip kelestarian
- Menilai ketelitian kelestarian keadaan semasa dan/atau masa depan sistem yang kompleks
- Membina visi kelestarian dan menilai pelan tindakan berdasarkan prinsip nilai
4. Kompetensi Strategik (Strategic Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 2
Menyelaraskan tindakan dengan matlamat jangka panjang.
Keupayaan untuk secara kolektif membangunkan dan melaksanakan tindakan inovatif yang memajukan kelestarian di peringkat tempatan dan lebih jauh.
Kemahiran utama (key abilities):
- Membina dan menguji strategi (pelan tindakan) yang viable untuk intervensi, peralihan, dan transformasi ke arah kelestarian
- Merancang, melaksanakan, dan menilai strategi pembangunan lestari
5. Kompetensi Kolaborasi (Collaboration Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 3 (Interpersonal + Komunikasi)
Bekerja secara berkesan dalam pasukan yang pelbagai.
Keupayaan untuk belajar daripada orang lain; memahami dan menghormati keperluan, perspektif, dan tindakan orang lain (empati); memahami, berkait rapat, dan peka terhadap orang lain (kepimpinan empatik); menangani konflik dalam kumpulan; serta memudahkan penyelesaian masalah secara kolaboratif dan penyertaan.
Kemahiran utama (key abilities):
- Bekerjasama dengan jayanya dalam pasukan antara disiplin dan antara profesion
- Melibatkan pelbagai pihak berkepentingan secara bermakna dan berkesan
- Memajukan transformasi kelestarian melalui kerjasama inklusif
6. Kompetensi Pemikiran Kritikal (Critical Thinking Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 2 + Kluster 3
Menganalisis maklumat untuk membuat keputusan bermaklumat.
Keupayaan untuk mempersoalkan norma, amalan, dan pendapat; merefleksikan nilai, persepsi, dan tindakan diri sendiri; serta mengambil pendirian dalam wacana kelestarian. Ini menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal tentang isu kelestarian dan peranan mereka sendiri dalam menanganinya.
Kemahiran utama (key abilities):
- Mempersoalkan andaian dan norma yang mendasari amalan semasa
- Menilai bukti secara kritis dalam konteks ketidakpastian
- Mengambil pendirian yang berasas dalam wacana kelestarian
7. Kesedaran Kendiri (Self-Awareness Competency)
Penjajaran MQF: Kluster 4 (Kemahiran Personal)
Memahami kekuatan dan kelemahan peribadi.
Keupayaan untuk merefleksikan peranan diri dalam komuniti tempatan dan masyarakat (global); menilai dan memotivasi tindakan diri secara berterusan; serta menangani perasaan dan keinginan diri sendiri.
Kemahiran utama (key abilities):
- Mengelakkan cabaran kesihatan peribadi dan keletihan (burnout) dalam memajukan transformasi kelestarian
- Membangunkan resiliensi melalui penjagaan diri yang berorientasikan kesedaran kendiri dan pengawalseliaan diri
- Mempromosi pertumbuhan peribadi dan refleksi kendiri yang berterusan
8. Penyelesaian Masalah Bersepadu (Integrated Problem-Solving Competency)
Penjajaran MQF: Merentas semua kluster
Menggabungkan pelbagai disiplin untuk penyelesaian komprehensif.
Keupayaan menyeluruh untuk mengaplikasikan pelbagai rangka kerja penyelesaian masalah kepada masalah kelestarian yang kompleks dan membangunkan pilihan penyelesaian yang viable, inklusif, dan saksama yang menggalakkan pembangunan lestari, dengan mengintegrasikan semua kompetensi yang disebutkan di atas.
Kemahiran utama (key abilities):
- Mengaplikasikan prosedur penyelesaian masalah kolektif kepada masalah kelestarian yang kompleks
- Membangunkan strategi kelestarian yang viable dan berjaya melaksanakannya secara kolaboratif
- Mengintegrasikan pengetahuan daripada pelbagai disiplin untuk menangani cabaran kelestarian
Domain Pembelajaran ESD — Kepala, Hati, dan Tangan
Kompetensi UNESCO digunakan secara meluas apabila mereka bentuk kurikulum untuk pendidikan tinggi. Objektif-objektif ini menangani satu atau lebih domain pembelajaran kognitif, sosio-emosional, dan tingkah laku.
Kerangka “Kepala, Hati, dan Tangan” (Head, Heart, and Hands) menggambarkan tiga domain yang perlu diintegrasikan dalam pengajaran dan pentaksiran ESD:
| Domain | Metafora | Kompetensi ESD Dominan |
|---|---|---|
| Kognitif — pengetahuan dan kemahiran berfikir | 🧠 Kepala | Pemikiran Sistem, Pemikiran Kritikal, Normatif |
| Sosio-Emosional — kemahiran sosial, nilai, sikap | 💙 Hati | Kesedaran Kendiri, Kolaborasi, Antisipatif |
| Tingkah Laku — kecekapan tindakan | 🤲 Tangan | Strategik, Penyelesaian Masalah Bersepadu |
Tahap Kemahiran ESD dalam OBA
Terdapat empat tahap kemahiran yang boleh digunakan untuk menentukan tahap penguasaan kompetensi ESD berdasarkan Taksonomi Bloom:
| Tahap | Asas Taksonomi Bloom | Huraian |
|---|---|---|
| Pemula (Beginner) | Pengetahuan | Mengingat kembali fakta, istilah, dan konsep asas ESD |
| Pertengahan (Intermediate) | Kefahaman + Aplikasi | Memahami, menerangkan, dan mengaplikasikan pengetahuan ESD |
| Lanjutan (Advanced) | Analisis + Sintesis | Menganalisis, menilai, dan mencipta berdasarkan kefahaman ESD |
| Pakar (Expert) | Penilaian + Penciptaan | Menilai secara kritis, mensintesis, dan menjana pandangan baharu dalam ESD |
Ini bermakna dalam mereka bentuk CLO berasaskan ESD, pensyarah perlu menentukan pada tahap mana pelajar perlu menguasai setiap kompetensi — Pemula untuk kursus pengenalan, Pakar untuk kursus final year atau pasca siswazah.
Penjajaran 8 Kompetensi ESD kepada 5 Kluster MQF
| Kompetensi ESD (UNESCO 2017 / MQF 2024) | Kluster MQF | Domain Pembelajaran |
|---|---|---|
| Pemikiran Sistem | Kluster 1 + Kluster 2 | Kognitif |
| Antisipatif | Kluster 1 | Kognitif |
| Normatif | Kluster 2 | Kognitif + Sosio-Emosional |
| Strategik | Kluster 2 | Tingkah Laku |
| Kolaborasi | Kluster 3 (Interpersonal + Komunikasi) | Sosio-Emosional |
| Pemikiran Kritikal | Kluster 2 + Kluster 3 | Kognitif |
| Kesedaran Kendiri | Kluster 4 (Personal) | Sosio-Emosional |
| Penyelesaian Masalah Bersepadu | Merentas semua kluster | Kognitif + Sosio-Emosional + Tingkah Laku |
Penambahan Baharu MQF 2024 — Pendidikan Berteraskan Nilai (VBE)
Selain ESD, MQF 2024 turut menguatkan Pendidikan Berteraskan Nilai atau Values-Based Education (VBE) sebagai teras baharu kerangka kelayakan Malaysia. Garis panduan pelaksanaannya diterbitkan oleh MQA melalui Guidelines on Values-Based Education (GVBE) 2026 iaitu dokumen rasmi yang menjadi rujukan utama semua IPT di Malaysia.
Definisi VBE vs VE — Perbezaan Asas
VBE adalah pendekatan pendidikan yang menumpukan kepada penanaman nilai moral dan etika serta pemupukan watak, sikap dan tingkah laku. Ia dipandu oleh nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan komuniti melalui pengintegrasian nilai teras ke dalam pengajaran, pembelajaran dan budaya institusi supaya nilai-nilai tersebut benar-benar dihayati.
Perbezaan kritikal antara VE dan VBE yang perlu difahami pensyarah:
| Aspek | Pendidikan Nilai (VE) | Pendidikan Berteraskan Nilai (VBE) |
|---|---|---|
| Fokus | Mengajar tentang nilai | Menghayati melalui nilai |
| Pendekatan | Kognitif dan teoritikal | Holistik — merangkumi emosi, rohani, dan sosial |
| Pelaksanaan | Diajar sebagai mata pelajaran berasingan | Diintegrasikan dalam etos institusi, kurikulum, dan hubungan |
| Matlamat | Memahami konsep moral dan membuat keputusan etika | Membentuk watak dan menghayati nilai dalam tingkah laku harian |
| Pentaksiran | Berasaskan pengetahuan | Refleksi berterusan, pemerhatian tingkah laku, maklum balas komuniti |
VBE bukan sekadar kefahaman teoritikal; ia tentang mewujudkan persekitaran di mana nilai-nilai itu dihayati, dialami, dicontohi dan diinternalisasikan melalui setiap aspek perjalanan pendidikan.
6 Nilai Teras MQF yang Dicadangkan (MQF Proposed Core Values)
Nilai-nilai teras ini dibangunkan berdasarkan Kebajikan Cardinal dan perbincangan kumpulan fokus, dengan tujuan membimbing perkembangan holistik individu, mempromosikan tingkah laku etika, tanggungjawab sivik dan integriti peribadi.
Berikut adalah definisi rasmi setiap nilai teras mengikut GVBE 2026:
1. Maruah (Dignity)
Maruah sebagai nilai teras mengiktiraf nilai intrinsik, kehormatan dan penghormatan yang diberikan kepada setiap individu semata-mata kerana kemanusiaan mereka. Ia menjadi asas untuk melanjutkan belas kasih, keadilan dan keperimanusiaan kepada diri sendiri dan orang lain, tanpa mengira status, latar belakang atau keadaan.
Sub-nilai: Empati, Kesetiaan, Belas Kasih, Kewarganegaraan Demokratik, Pengurusan Hubungan, Bukan Keganasan, Kemaafan, Timbal Balik, Kesedaran Transpersonal
Penjajaran MQF: Kemahiran Interpersonal · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Etika dan Profesionalisme
2. Keadilan (Justice)
Keadilan sebagai nilai teras merujuk kepada prinsip keadilan, ekuiti dan kebenaran moral dalam layanan terhadap individu dan pengagihan sumber, peluang dan tanggungjawab dalam masyarakat. Ia melibatkan pemberian hak kepada setiap individu, melindungi hak dan membetulkan ketidakadilan dengan cara yang tidak berat sebelah dan telus.
Sub-nilai: Kesetiaan, Kesaksamaan, Amanah, Inklusiviti, Keharmonian, Kerjasama, Wacana Sivik, Keadilan, Solidariti, Pemerkasaan
Penjajaran MQF: Pengetahuan dan Kefahaman · Kemahiran Interpersonal · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Etika dan Profesionalisme
3. Integriti (Integrity)
Integriti sebagai nilai teras merujuk kepada kualiti kejujuran, teguh secara moral dan konsisten dalam prinsip, tingkah laku dan kata-kata seseorang — walaupun tiada yang memerhatikan. Ia melibatkan pematuhan norma etika, bertindak dengan betul atas sebab yang boleh dibenarkan, dan mengekalkan kebolehpercayaan dan kebolehpercayaan dalam mana-mana situasi.
Sub-nilai: Kejujuran, Tanggungjawab Sosial/Bersama, Kewarganegaraan yang Bertanggungjawab, Akauntabiliti, Kepimpinan, Kerja Berpasukan, Etiket, Kejujuran Intelektual, Ketelusan, Penaakulan Etika, Keterbukaan Perspektif
Penjajaran MQF: Pengetahuan dan Kefahaman · Kemahiran Kognitif · Kemahiran Interpersonal · Kemahiran Komunikasi · Kemahiran Digital · Kemahiran Numerasi · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Kemahiran Personal · Etika dan Profesionalisme
4. Kesyukuran (Gratitude)
Kesyukuran sebagai nilai teras merujuk kepada penghargaan dan pengiktirafan mendalam atas belas kasih, sokongan dan nikmat yang diterima daripada orang lain dan kehidupan. Ia adalah satu sikap dan moral yang mengiktiraf aspek positif kehidupan serta mempromosikan kerendahan hati, kemurahan hati dan keredaan.
Sub-nilai: Rasa Hormat, Kesedarantenang (Mindfulness), Kecerdasan Emosi, Kemampanan, Keperimanusiaan, Kepelbagaian, Kesedaran Multikultural, Kepaduan Sosial, Kesabaran, Kesopanan, Keharmonian, Kepekaan Etika
Penjajaran MQF: Pengetahuan dan Kefahaman · Kemahiran Interpersonal · Kemahiran Komunikasi · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Kemahiran Personal · Etika dan Profesionalisme
5. Keberanian (Courage)
Keberanian sebagai nilai teras merujuk kepada kekuatan dalaman dan sikap positif yang membolehkan individu atau komuniti mengatasi cabaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan sambil terus berkembang dan menegakkan prinsip mereka. Keupayaan ini melibatkan kekal kuat, positif dan produktif ketika menghadapi kesukaran, ketidakpastian atau kegagalan.
Sub-nilai: Daya Tahan, Disiplin, Berdikari, Motivasi Intrinsik
Penjajaran MQF: Pengetahuan dan Kefahaman · Kemahiran Komunikasi · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Kemahiran Personal
6. Altruisme (Altruism)
Altruisme sebagai nilai teras merujuk kepada keprihatinan tanpa mementingkan diri terhadap kesejahteraan orang lain, di mana individu bertindak atas dasar keprihatinan, belas kasih dan kemurahan hati yang tulen, tanpa menjangkakan keuntungan atau ganjaran peribadi. Ia menjelmakan semangat membantu, berkhidmat dan berkorban untuk orang lain, yang sering didorong oleh empati, kasih sayang atau keyakinan moral.
Sub-nilai: Kuotien Rohani, Kemurahan Hati, Kepedulian, Kerendahan Hati, Semangat Komuniti, Rasionaliti, Pencarian Kebenaran, Kesedaran Diri dan Sosial, Menyuruh Kebaikan
Penjajaran MQF: Pengetahuan dan Kefahaman · Kemahiran Interpersonal · Kemahiran Komunikasi · Kemahiran Digital · Kemahiran Numerasi · Kepimpinan, Tanggungjawab dan Autonomi · Kemahiran Personal · Kemahiran Keusahawanan · Etika dan Profesionalisme
Penjajaran 6 Nilai Teras — MQF, FPN, dan Rukun Negara
| Nilai Teras | Penjajaran FPN | Penjajaran Rukun Negara |
|---|---|---|
| Maruah | Berupaya bekerja bersama dalam industri dan masyarakat | Kepercayaan kepada Tuhan · Kesetiaan kepada Raja dan Negara |
| Keadilan | Berupaya bekerja bersama · Berkepribadian baik | Kepercayaan kepada Tuhan · Kesetiaan kepada Raja dan Negara · Keluhuran Perlembagaan · Kedaulatan Undang-undang |
| Integriti | Berupaya bekerja bersama | Kepercayaan kepada Tuhan · Keluhuran Perlembagaan · Kedaulatan Undang-undang |
| Kesyukuran | Berkepribadian baik | Kepercayaan kepada Tuhan · Kesopanan dan Kesusilaan |
| Keberanian | Berkepribadian baik | Kepercayaan kepada Tuhan · Kesopanan dan Kesusilaan |
| Altruisme | Berpengetahuan dan berkemahiran | Kepercayaan kepada Tuhan · Kesopanan dan Kesusilaan · Kedaulatan Undang-undang |
Kedalaman Pelaksanaan VBE dalam Kurikulum
GVBE 2026 membezakan tiga tahap kedalaman pelaksanaan VBE:
| Tahap | Definisi | Kedalaman | Contoh |
|---|---|---|---|
| Infuse (Meresap) | Penyertaan nilai secara ringkas, sering tersirat | Permukaan | Menyebut “hormat” semasa kerja berkumpulan tanpa refleksi berstruktur |
| Embed (Menyerap) | Penempatan nilai secara sengaja dalam modul, aktiviti, atau pentaksiran tertentu | Kedalaman sederhana | Mereka bentuk senario kepimpinan yang meneroka “keberanian” secara eksplisit |
| Integrate (Mengintegrasikan) | Penjajaran sistematik nilai merentasi kurikulum, pedagogi, pentaksiran, dan budaya institusi | Mendalam dan holistik | Memetakan “integriti” merentasi hasil pembelajaran, strategi pengajaran, rubrik, dan program kepimpinan pelajar sepanjang semester |
HEPs yang baru mula disarankan bermula dengan Infuse, kemudian berkembang ke Embed, dan akhirnya mencapai Integrate — di mana nilai bukan sahaja diajar, tetapi dihayati sepenuhnya.
Penjajaran VBE dengan Kemahiran Insaniah IPG
Bagi pensyarah IPG khususnya: IPGM menerapkan VBE melalui sub-atribut Kemahiran Insaniah. Ini menunjukkan kurikulum IPG telah memenuhi keperluan VBE seperti yang ditekankan dalam MQA sejak Jun 2022. Sehubungan dengan itu, tiada keperluan penjajaran VBE yang baharu kepada kurikulum IPG KPM.
| Nilai Teras VBE | Komponen Kemahiran Insaniah IPG |
|---|---|
| Maruah | KAT (Kepimpinan & Autonomi) + KMI (Interpersonal) |
| Keadilan | KEP (Etika & Profesionalisme) |
| Integriti | KMD (Digital) + KKG (Kognitif) |
| Kesyukuran | KMK (Komunikasi) |
| Keberanian | KMP (Personal) |
| Altruisme | KMU (Keusahawanan) + KMN (Numerasi) |
Implikasi VBE kepada OBA
Dalam konteks OBA, VBE bermakna instrumen penilaian perlu direka bentuk untuk turut mengukur nilai dan watak pelajar — bukan sekadar pengetahuan dan kemahiran teknikal. Ini boleh dilaksanakan melalui:
- Rubrik holistik — memasukkan dimensi nilai (integriti dalam tugasan, profesionalisme dalam pembentangan)
- Portfolio reflektif — mendorong pelajar merenungkan nilai dalam amalan profesional mereka
- Penilaian rakan sebaya — menilai dimensi kerjasama, penghargaan, dan keadilan
- Pemerhatian amalan — semasa praktikum atau latihan industri
- Jurnal pembelajaran — refleksi berterusan tentang perkembangan nilai peribadi
| Aspek | MQF 2007 (8 Domain) | MQF 2017/2024 (5 Kluster, 11 Komponen) |
|---|---|---|
| Struktur | 8 domain berasingan | 5 kluster, 11 komponen terperinci |
| Kemahiran Digital | Tidak dinyatakan secara eksplisit | Baharu — Komponen 3d |
| Keusahawanan | Domain 8 berasingan | Komponen 4b dalam Kluster 4 |
| Kelestarian (ESD) | Tiada | Baharu dalam MQF 2024 |
| Pemetaan PLO | Kepada 8 domain | Kepada 5 kluster / 11 komponen |
Bagi pensyarah IPG yang mengajar program PISMP atau program lain di bawah MQF, penting untuk memastikan PLO program dan CLO kursus merujuk kepada 11 komponen MQF 2017/2024 bukan lagi 8 domain edisi pertama 2007 yang sudah digantikan.
MQF melaksanakan pendekatan OBE dengan menetapkan lapan tahap kelayakan (Tahap 1 hingga 8) dan menghuraikan hasil pembelajaran yang diharapkan bagi setiap tahap. Hasil pembelajaran ini distrukturkan kepada lima kluster utama.
Implikasi langsung kepada pensyarah: setiap kursus yang diajar perlu mempunyai Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) yang dipetakan kepada sekurang-kurangnya satu kluster daripada lima kluster MQF ini. Dan setiap CLO perlu dinilai melalui instrumen penilaian yang sesuai — inilah OBA dalam tindakan.
OBA dalam Konteks COPPA dan Akreditasi MQA
Dokumen utama MQA seperti Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) mewajibkan semua program direka bentuk dan disampaikan selari dengan OBE dan MQF.
Ini bermakna semasa proses akreditasi MQA, panel penilai akan menyemak:
- Adakah setiap kursus mempunyai CLO yang jelas dan boleh diukur?
- Adakah kaedah penilaian sejajar dengan CLO (penjajaran konstruktif)?
- Adakah rubrik penilaian tersedia dan digunakan secara konsisten?
- Adakah data pencapaian CLO dikumpul dan digunakan untuk CQI (Continuous Quality Improvement)?
Kegagalan dalam aspek-aspek ini boleh menjejaskan status akreditasi program yang menjadikan OBA bukan sekadar amalan pedagogi yang baik, tetapi keperluan institusi.
Soalan Lazim (FAQ)
Apakah perbezaan antara OBA dan OBE?
OBE (Outcome-Based Education) adalah pendekatan keseluruhan sistem pendidikan — merangkumi reka bentuk kurikulum, kaedah pengajaran, dan penilaian, seperti yang digambarkan oleh Spady (1994) sebagai “clearly focusing and organizing everything in an educational system.” OBA (Outcome-Based Assessment) adalah komponen penilaian dalam sistem OBE — ia memfokuskan khusus kepada bagaimana pencapaian hasil pembelajaran diukur. Driscoll dan Wood (2007) menekankan bahawa OBA yang berkesan memerlukan pensyarah untuk “articulate learning outcomes and evidence of learning that are appropriate for their courses and programs” — ia bukan sekadar menukar format ujian, tetapi mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan “bukti pembelajaran.” OBA tidak boleh wujud tanpa OBE, tetapi OBE tanpa OBA yang baik akan gagal mencapai matlamatnya.
Adakah OBA wajib di semua institusi pendidikan tinggi Malaysia?
Ya, secara efektifnya. Melalui Akta MQA 2007 (Akta 679) dan keperluan COPPA, semua program yang ingin mendapat akreditasi MQA mesti mengikuti prinsip OBE dan OBA. Ini termasuk IPTA, IPTS, politeknik, kolej vokasional, dan IPG di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mengapa ramai pensyarah masih tidak melaksanakan OBA sepenuhnya?
Banyak kajian menunjukkan tenaga pengajar di IPT Malaysia masih tidak memahami cara melaksanakan pentaksiran berasaskan hasil pembelajaran. MQA juga pernah melaporkan bahawa Proses Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI) masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan tenaga pengajar memerlukan lebih bimbingan dalam melaksanakan pentaksiran kerana tiada mekanisme yang sesuai untuk menyokong pentaksiran dan penilaian CQI.
Cabaran utama termasuk: kekurangan latihan praktikal, beban kerja pensyarah yang tinggi, dan sistem sokongan institusi yang masih lemah.
Apakah hubungan antara OBA dengan FPN 1988?
FPN 1988 menekankan perkembangan manusia yang menyeluruh iaitu intelek, rohani, emosi, dan jasmani. OBA menyediakan mekanisme praktikal untuk mengukur dan membuktikan perkembangan menyeluruh ini berlaku, melalui pelbagai kaedah penilaian yang meliputi kesemua domain pembelajaran — bukan hanya kognitif melalui peperiksaan semata-mata.
Apa yang dimaksudkan dengan “penjajaran konstruktif” dalam OBA?
Penjajaran konstruktif bermaksud keselarasan antara tiga elemen: Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) → Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) → Kaedah Penilaian. Ketiga-tiga elemen ini mesti sejajar — jika CLO menuntut pelajar “mereka bentuk” sesuatu, maka aktiviti P&P dan penilaian mesti memberi peluang kepada pelajar untuk benar-benar mereka bentuk, bukan hanya menghuraikan atau menghafal tentang reka bentuk.
Kesimpulan
Pentaksiran Berasaskan Hasil (OBA) adalah lebih daripada sekadar pendekatan penilaian baharu adalah pemenuhan amanah yang telah diamanahkan sejak FPN 1988 digubal. Falsafah yang menekankan perkembangan insan yang menyeluruh dan bersepadu memerlukan sistem penilaian yang mampu mengukur keseluruhan dimensi tersebut.
Didukung oleh tiga akta perundangan utama (Akta 30, Akta 555, dan Akta 679), serta diwajibkan melalui COPPA dan MQF, OBA bukan lagi pilihan bagi pensyarah di institusi pengajian tinggi Malaysia malah ia adalah tanggungjawab profesional dan keperluan institusi.
Artikel-artikel seterusnya dalam siri ini akan membincangkan komponen-komponen teknikal OBA secara lebih terperinci iaitu bermula dengan kerangka MQF dan hubungannya dengan hierarki hasil pembelajaran (PEO → PLO → CLO).
Baca seterusnya: Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan OBE — 8 Tahap Kelayakan dan 5 Kluster Hasil Pembelajaran untuk memahami asas kerangka yang mendasari keseluruhan sistem OBA di Malaysia.
Rujukan utama: Spady, W. G. (1994). Outcome-Based Education: Critical Issues and Answers. Arlington, VA: American Association of School Administrators. | Driscoll, A., & Wood, S. (2007). Developing Outcomes-Based Assessment for Learner-Centered Education: A Faculty Introduction. Sterling, VA: Stylus Publishing (diterbitkan semula oleh Routledge, 2023).
Maklumat dalam artikel ini bersumber daripada: Advisory Note MQA Bil. 1/2026 (28 Januari 2026) — Panduan Prinsip Penilaian Hasil Pembelajaran Pelajar (UPM-CQA); Falsafah Pendidikan Negara 1988 (portal rasmi KPM); Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2019); Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555); Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679); Garis Panduan Amalan Baik: Penilaian Pelajar (MQA, 2023); dan kajian “Pelaksanaan Outcome-Based Education di Kolej Vokasional, Malaysia” (ResearchGate, 2019).
